Sunday, December 7, 2014

Buih [ 1]

Pernah dulu. Dia ingat lagi. Telur kicap nenek. Itulah makanan paling sedap dia suka. Kegemaran sangat-sangat. Yang bestnya telur kicap nenek, nenek buat guna minyak kelapa. Dia suka sangat. Pastu nanti, nenek letak bawang banyak-banyak. Bertambah-tambah nasi dia makan. Lepastu petang pula, nenek buat bengkang ubi kayu. Ya Allah, lembut, berlemak semua cukup. Masa nenek datang tidur rumah kat Alor Setar dulu, nenek bawa jeruk petai. Satu bekas besar. Seronok sangat makan tengah hari jeruk petai dengan sambal belacan. Hari-hari pulak tu. Pastu nenek kata kalau tok man bagi lagi petai, nanti dia buat lagi. Rumah tok man ada pokok petai besar dan banyak. Buah pun lebat. Panjang papan buah petai tu. Biji besar-besar.

Air mata yang mengalir diseka laju. Semua kenangan tu akan terus terpahat dalam ingatan. Dia berdoa semoga Allah izinkan dia menatap wajah yang tersayang buat kali terakhir, supaya wajah itu akan terus kuat membawa semangat diri. Sesekali dilirik jam tangan di pergelangan tangan. Lagi 10 minit membawa kepada jam1.10 petang. Bermakna lagi 10 minit dia boleh masuk ke perut kapal terbang yang akan membawa dia ke Kuala Lumpur, transit selama 20 minit sebelum terbang semula membawanya ke bumi Alor Setar. Dia perlu sabarkan hati. Harap-harap sempat jejak Alor Setar sebelum Asar.

Dari cermin tingkap pesawat, yang kelihatan cuma awan-awan putih yang berkepul-kepul di sebalik langit biru. Cuaca sangat baik ini seolah-olah merestui perjalanannya. Dia bersandar kepala pada kusyen tempat duduknya. Matanya dipejamkan erat. Cuba menghimpun kekuatan diri. Cuba membina semula semangat yang roboh tadi. Dia cuba. Tapi dia lemah . Dia rasa sebak. Sebak yang tersangat pilu. Orang-orang yang sayangkannya semua pergi menemui Pencipta. Mereka tinggalkan kenangan yg untuk dia bawa bersama kasih sayang mereka.

Tengah hari itu, KLIA agak sibuk. Mungkin sebab cuti sekolah, orang ramai berlumba-lumba membawa anak-anak bercuti. Langkah kaki dipercepatkan. Sebenarnya, dari Senai tadi delayed 15 minit. Dia risau gate tutup. Dalam hati, tak putus-putus dia berdoa supaya dipermudahkan urusannya. Masih lagi tersimpan rapi doa yang diajar nenek, kalau kita nak Allah mudahkan urusan.

"Allahumma yassir wala tu asir ya karim".

Berulang-ulang dia menyebut sejak turun dari kapal terbang yang membawanya dari Senai ke KLIA. Sebaik sahaja tiba dia Gate G, perkara yang menakutkan dia betul-betul terjadi.

"Maaf, cik. Pintu pesawat baru sahaja tutup."

Dia terlambat. 5 minit sahaja!

"Tapi, saya kena naik juga flight tu. Cik , tolong saya cik," ujarnya bersungguh merayu petugas MAS yang manis berkebaya biru itu.

"Saya nak tengok nenek saya buat kali terakhir," itulah ucapan yang menjadi senjata terakhirnya supaya dilembutkan hati petugas tersebut.

Riak wajah gadis manis itu seolah bersimpati dengan nasib dia. Tapi, prosedur dan undang-undang syarikat tetap perlu dituruti.
Perlahan, gadis manis MAS itu bertutur lagi sambil menunduk sedikit kepala tanda simpati dan hormat.
"Sekali lagi. Saya minta maaf, cik," ujarnya lembut.
Kaki yang memijak lantai tiba-tiba seakan hilang, lumpuh dan layu dia jatuh terduduk di hadapan gadis itu.


"Kenapa ni?"
"Saya tak tahu, Kapten. Tiba-tiba cik ni jatuh. Dia terlepas flight ke Alor Setar tadi. Dia terlambat 5 minit. Dia merayu tadi nak masuk juga. Katanya nak tengok nenek buat kali terakhir," panjang lebar si gadis menerangkan kepada Kapten dan anak kapal lain yang membantu memapah gadis yang pengsan itu.

Dia rasa suara gadis berkebaya biru itu makin jauh, jauh dan hilang dari pendengaran. Dan dunia ini gelap.

3 comments:

Unknown said...

Sedih....

MaY_LiN said...

fai..
sedihnye
kapten & dia

_ said...

Hi! Just found yr blog @ enovel-link.blogspot.com :) Cant wait to read (buih) next chap.